Novak Djokovic menegaskan dia tidak berdepan masalah untuk mencari inspirasi baru dalam sukan tenis meskipun menempuh prestasi hambar ketika ini.

Takhta pemain no.1 dunia yang dipegang Djokovic telah dirampas Andy Murray di Masters Paris susulan tewas kepada Marin Cilic di peringkat suku akhir manakala Murray berjaya mara ke final sebelum muncul juara.

Djokovic -- 12 kali juara grand salam -- akan turun mempertahankan gelaran juara Final Jelajah Dunia ATP yang akan membuka tirai di London minggu hadapan.

"Ada hari kamu akan berasa kurang bersemangat untuk beraksi, namun kadang-kala kamu akan berada di tahap terbaik.

"Namun, penting sebagai seorang atlet untuk kekal positif bagi memastikan kita mengambil pendekatan baik dalam menghadapi prestasi hambar.

"Kerana itulah, selepas 10 tahun menceburi sukan ini, saya masih mampu berada di tahap terbaik. Saya sangat teruja ketika beraksi.

"Latihan hanya memainkan 80 peratus peranan dalam satu musim, kerana itulah baki 20 peratus itu hadir menerusi motivasi dan inspirasi yang harus dikekalkan, terutama menjelang kejohanan besar seperti ini.

"Saya bernasib baik kerana tidak berdepan masalah untuk mencari sumber inspirasi. Saya sering mendapat sokongan daripada ahli keluarga dan mereka mereka yang berada di sekeliling saya."