Novak Djokovic sedar dia kini memikul tanggungjawab dalam cuba mengekang Andy Murray daripada merampas takhtanya selaku pemain no.1 dunia.

Murray semakin menghampiri ranking no.1 dunia dan mampu melakukanya jika berjaya menjuarai Paris Masters minggu ini sekiranya Djokovic gagal melangkah ke final.

Namun, Djokovic, yang menempuh prestasi hambar sejak menjuarai Terbuka Perancis tahun ini, percaya dia mampu memberi saingan di Perancis nanti.

"Saya berasa cukup baik ketika ini," katanya. "Beberapa bulan ini bukan mudah buat saya.

"Saya cuba memperhalusi semula objektif saya dengan apa yang berlaku di luar dan di atas gelanggang.

"Segala-galanya semakin jelas dan saya kini berada di landasan yang tepat. Ketika ini, saya sangat fokus menjelang aksi di Paris.

Bagaimanapun, Djokovic mengakui Murray layak berada dalam landasan mengejar ranking no.1 miliknya.

"Dia sememangnya layak berada dalam posisi ini. Sama ada perkara itu akan berlaku atau tidak, ia bergantung kepada dirinya dan juga saya."