Novak Djokovic menganggap Nick Kyrgios telah mengutip pengajaran bermakna dalam hidupnya selepas dihukum akibat tingkah lakunya di Shanghai Masters.

Kyrgios didenda USD16,500 (RM695,021) oleh Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP) kerana menyerah kalah dalam pusingan kedua kepada Mischa Zverev.

Pemain Australia di ranking ke-14 dunia itu sempat berperang mulut dengan penyokong dan berkelakukan buruk semasa sidang akhbar sebelum dia memohon maaf menerusi akaun laman sosial, Twitter.

Djokovic yang menyingkirkan Vasek Pospisil untuk menempah pertemuan dengan Zverev di peringkat suku akhir kejohanan ATP 1000 itu, berasa kecewa dengan gelagat Kyrgios itu.

"Saya belum berkesempatan untuk menonton apa yang telah dilakukannya tapi saya ada terdengar," kata pemain Serbia itu kepada media.

"Saya tidak pernah mendengar cerita menarik mengenainya. Kami sudah biasa apabila Nick Kyrgios terlibat dengan pertelingkahan, tidak banyak perkara baik mengenainya kebelakangan ini.

"Saya kesal mendengarnya kerana saya pernah berkata kepada ramai pemain lain dan orang ramai dalam dunia tenis bahawa dia salah seorang pemain berbakat dan memiliki potensi besar.

"Dia beraksi dengan baik, dia berada dalam kelompok 15 pemain terbaik dunia dan anda harus memberinya kredit. Namun, di sebalik itu, sudah jelas dia mendapat pengajaran dan dia masih muda. Saya harap itu akan berlaku."

Djokovic merupakan pemain nombor satu dunia dan bakal mempertahankan kejuaraan di China itu selepas muncul juara sebanyak tiga kali.