Novak Djokovic meluahkan kebangaannya mengatasi misi mustahil untuk kembali ke kedudukan pertama dalam ranking Persatuan Tenis Profesional (ATP).

Juara 14 kali grand slam itu akan kembali ke kedudukan nombor satu buat kali pertama sejak dua tahun lalu selepas Rafael Nadal menarik diri daripada Kejohanan Masters Paris, kelmarin.

Ia merupakan perjalanan yang panjang buat Djokovic yang menduduki ranking ke-21 sebelum Kejohanan Wimbledon dengan dia mempamerkan kebangkitan menakjubkan selepas itu.

"Berdasarkan apa yang saya lalui sepanjang tahun ini, ia sememangnya suatu fenomena," kata Djokovic yang mara ke suku akhir kejohanan di Paris itu selepas Damir Dzumhur menarik diri.

"Saya sentiasa percayakan kemampuan saya, namun untuk kembali berada di kedudukan itu merupakan sesuatu yang mustahil.

"Saya boleh memperkatakannya dengan lebih mendalam di penghujung musim nanti dan saya berharap untuk memperkatakannya selepas menamatkan musim sebagai pemain nombor satu," katanya.

Djokovic hanya tewas sekali sejak Kejohanan Wimbledon. Dia menjuarai tiga kejohanan terdahulu dan akan bertemu Marin Cilic di peringkat suku akhir di Paris.

"Ia pasti perlawanan yang sukar. Saya sedia menghadapinya," tambah Djokovic.