Novak Djokovic bakal terlepas Terbuka Amerika Syarikat selepas kecederaan siku terus menghantuinya apabila doktor Persekutuan Tenis Serbia mengarahkannya untuk berehat selama enam hingga 12 minggu.

Djokovic mengalami kecederaan itu lebih daripada satu setengah tahun dan menarik diri daripada saingan suku akhir Wimbledon ketika berdepan Tomas Berdych.

Dr Zdeslav Milinkovic berkata kecederaan itu sudah berkurangan tetapi selepas bertemu bertemu pakar di Toronto, Djokovic masih lagi memerlukan masa untuk menjalani proses pemulihan.

"Djokovic perlu berehat selama enam hingga 12 minggu," kata Dr Milinkovic kepada Sportski Zurnal.

"Penilaian seterusnya akan menentukan bagaimana perkembangan terhadap kecederaan yang dialami Djokovic.

"Buat masa ini, dia tidak berlatih di gelanggang tenis, hanya memberikan fokus kepada latihan kecergasan dan fisioterapi."

Terbuka AS akan bermula pada minggu terakhir bulan depan.