Novak Djokovic berkata dia mungkin masih boleh bermain tenis pada usia 40 tahun ketika dia memburu penamat bersejarah dalam sukan itu.

Pemain Serbia itu bercakap mengenai sasaran utamanya untuk mengatasi rekod Roger Federer selaku pemain paling banyak memenangi kejuaraan grand slam selain turut mengatasi rekod bintang Switzerland itu selaku pemain pemain paling lama di kedudukan nombor satu dunia.

Djokovic memenangi Terbuka Australia, kejuaraan utamanya yang ketujuh, sebelum pandemik koronavirus mengganggu kelangsungan acara sukan di seluruh dunia, menjadikan dia hanya ketinggalan tiga kejuaraan utama di belakang Federer.

Bagaimanapun, dengan Kejohanan Wimbledon 2020 dibatalkan dan Jelajah ATP masih ditangguhkan untuk sekurang-kurangnya sehingga hujung bulan depan, dia perlu menyimpan dahulu impian itu.

Namun, pemain nombor satu dunia itu, yang menganjak usia 33 tahun minggu depan, berasakan dia masih memiliki tempoh yang panjang untuk mencipta sejarah berkenaan.

Dia bersedia untuk melakukan perubahan signifikan dalam jadualnya untuk menyaingi ketahanan ditunjukkan seterunya yang berusia 38 tahun, Federer.

"Saya sememangnya mahu beraksi untuk tempoh yang panjang," katanya dalam satu temu bual In Depth bersama Graham Bensinger.

"Tetapi saya sedar jumlah kejohanan yang saya sertai akan berkurangan tidak lama lagi.

"Saya tidak dapat beraksi dengan keamatan seperti ini, dengan kejohanan yang banyak seperti ini dan penerbangan yang banyak, untuk tempoh yang panjang.

"Saya mungkin bermain sehingga berusia 40 tahun tetapi pada waktu itu, saya mungkin hanya fokus kepada kejohanan terbesar dan kejohanan yang bermakna buat saya.

"Saya tidak percaya kepada batasan, saya fikir ia hanyalah ilusi keegoan dan fikiran anda.

"Saya memliki sasaran yang jelas tetapi (rekod itu) bukanlah satu-satunya perkara yang mendorong saya.

"Apa yang mendorong saya setiap hari adalah sesuatu yang berkaitan dengan perkembangan peribadi saya," katanya.