Djokovic guna kepakaran jurulatih muda 

Oleh Penulis Jemputan 1 Disember 2017 96
 Djokovic guna kepakaran jurulatih muda 
Novak Djokovic berpaling kepada Radek Stepanek sebagai jurulatihnya untuk musim 2018.

Bekas pemain nombor satu dunia itu tidak mempunyai jurulatih tetap sejak berpisah dengan Marian Vajda pada Mei lalu sementara Andre Agassi bertindak sebagai penasihat semasa kejohanan Grand Slam. 

Kecederaan mengakhiri kempen Djokovic lebih awal pada musim ini, dengan pemain Serbia itu menarik diri ketika perlawanan suku akhir dengan Tomas Berdych di Wimbledon akibat kecederaan siku yang menyaksikan dia terlepas Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Djokovic dijangka akan kembali dalam saingan Abu Dhabi bulan depan dan dia akan ditemani Stepanek, yang memulakan langkah pertamanya untuk melatih selepas bersara baru-baru ini akibat pembedahan belakang.

Kerjasama itu diumumkan melalui laman sosial, Instagram Live, oleh Djokovic sendiri yang turut mengadakan soal jawab dengan peminat sebelum mendedahkan khidmat Stepanek, 39.

Pemenang Grand Slam sebanyak 12 kali itu kemudian memperkenalkan jurulatih barunya itu ketika menghadiri sesi gimnasium: "Ini adalah pasukan baru, ini jurulatih baru saya, saya teruja untuk musim baru.

"Kini ia adalah rasmi!"

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen