Bintang tenis dunia, Novak Djokovic, akan bertemu Alexander Zverev dan Marin Cilic dalam pusingan round-robin Kejohanan Final Persatuan Tenis Profesional (ATP), manakala Roger Federer berpeluang melunaskan dendam terhadap Kevin Anderson di London.

Juara lima kali, Djokovic, diundi dalam Kumpulan Guga Kuerten pada ketika dia kembali ke kedudukan ranking nombor satu dunia selepas Rafael Nadal menarik diri ekoran kecederaan buku lali dan perut.

Juara Grand Slam 14 kali itu juga akan berdepan muka baru, Josh Isner -- pengganti Nadal -- untuk merebut tempat ke suku akhir.

Rekod 22 kemenangan Djokovic sebelum ini lebur dalam Kejohanan Masters Paris selepas tewas dalam aksi final kepada Karen Khachanov, minggu lalu.

Federer -- juara enam kali kejohanan berprestij itu -- akan bertemu Anderson, Dominic Thiem dan Kei Nishikori dalam saingan Kumpulan Lleyton Hewitt.

Anderson yang akan membuat penampilan pertama pada usia 32 tahun dalam kejohanan itu pernah menewaskan Federer dalam suku akhir Kejohanan Wimbledon musim ini.

Nishikori pula tewas kepada Federer di Paris, minggu lalu, sebelum dipanggil menyertai Kejohanan Final ATP bagi menggantikan Juan Martin del Potro yang cedera.

Kejohanan Final ATP akan bermula hujung minggu ini di Arena O2, London.