Novak Djokovic meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pihak media susulan tindakannya di atas gelanggang dipersoal selepas berjaya menewaskan Dominic Thiem dalam aksi pembukaan Kumpulan Ivan Lendl, Final Jelajah Dunia ATP.

Djokovic -- yang bermain dalam kejohanan pertamanya sejak kehilangan takhta selaku pemain no.1 dunia kepada Andy Murray -- kembali bangkit selepas tewas set pertama untuk menang 6-7 (10-12), 6-0, 6-2 di Arena O2 London pada Ahad.

Ketika pemain Serbia itu bercakap dengan media, dia nyata kecewa apabila diajukan soalan mengenai insiden yang berlaku ketika tamat set pertama apabila umpire memberi amaran kepadanya susulan tindakannya memukul bola ke arah Thiem.

Seorang wartawan mengajukan soalan: "Kamu tidak bimbang tindakan kamu itu -- memukul bola ke arah pihak lawan -- akan memberikan kesan negatif pada masa akan datang?

Djokovic yang nyata tersentak dengan soalan itu mula meluahkan rasa tidak puas hatinya.

"Sukar dipercayai," katanya.

"Kamu sentiasa cuba menimbulkan isu seperti ini. Adakah saya seorang dalam sukan tenis yang mempamerkan rasa tidak puas hati di atas gelanggang? Itu maksud kamu?

"Pada saya, ini bukan satu masalah. Ini bukan kali pertama saya melakukannya."

Ditanya tindakannya itu berkemungkinan terkena penonton dan menyebabkan kecederaan serius, Djokovic secara sinis menjawab:"Ya, itu mungkin berlaku tetapi salji juga mungkin turun di Arena O2, tetapi itu tidak berlaku."