Del Potro kembali ke gelanggang selepas kecederaan lutut

Oleh Penulis Jemputan 15 Disember 2018 16
Del Potro kembali ke gelanggang selepas kecederaan lutut
Juan Martin del Potro kembali ke gelanggang selepas dua bulan menderita keretakan patella di bahagian lutut kanannya.

Pemain tenis Argentina itu terlepas Kejohanan Jelajah Akhir Persatuan Tenis Profesional (ATP), bulan lalu.

Del Potro mengalami kecederaan itu selepas terjatuh ketika menentang Borna Coric dalam pusingan ketiga Masters Shanghai.

Bagaimanapun, dia memberikan makluman positif mengenai pemulihannya daripada kecederaan itu menjelang aksi musim depan.

Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2009 itu mengirimkan satu video dengan berkata: "Saya mahu memberitahu semua orang yang saya sudah kembali bermain tenis selepas dua bulan menghadapi kecederaan lutut.

"Saya pulih dengan perlahan-lahan, namun saya sudah bersedia untuk kembali ke gelanggang.

"Saya gembira untuk mengumumkan perkara ini dan berterima kasih kepada anda semua yang menyokong saya selama ini," katanya.

Del Potro menamatkan musim ini dengan kedudukan ranking kelima dunia selepas meraih dua gelaran Jelajah Dunia ATP dan tewas kepada Novak Djokovic dalam final Terbuka AS.   

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen