Pengurusan kejohanan Wimbledon berjanji akan bertanggungjawab selepas bersedia untuk meneruskan saingan itu seperti dijadualkan.

Selasa lalu, saingan Terbuka Perancis ditangguhkan daripada Mei kepada September depan sekali gus mengejutkan pemain yang melihat saingan jelajah lelaki dan wanita juga bakal terkesan.

Berdasarkan situasi melibatkan wabak coronavirus ketika ini, Kelab Tenis All England (AELTC) kini melakukan persiapan untuk memastikan saingan Wimbledon diadakan 29 Jun depan walaupun berdepan kemungkinan ia tidak mampu diteruskan.

Semalam, pihak AELTC berkata mereka telah menutup beberapa kawasan tumpuan seperti muzium sambil ramai pekerja yang bekerja dari jarak jauh.

Ketua eksekutif, Richard Lewis, menegaskan tiada risiko diambil dalam memastikan kejohanan itu diteruskan.


"Dalam keputusan yang dibuat, keutamaan kami adalah kesihatan dan keselamatan pekerja, staf dan juga orang ramai. Kami bersyukur pihak kerajaan dan badan kesihatan memberikan nasihat dan sokongan.

"Tatkala kami meneruskan perancangan untuk kejohanan kali ini, ia kekal menjadi situasi yang diperhatikan dan kamia akan bertanggungjawab.

"Terima kasih kepada semua ahli kami, staf, pemain, penaja bersama, kontraktor serta orang ramai atas kesabaran dan kepercayaan yang diberikan dan kami turut berusaha untuk menangani cabaran global ini."