Pemain tenis negara, Syed Agil Syed Naguib, menarik nafas lega sebaik disahkan negatif jangkitan Covid-19 selepas pulang dari Mesir dua hari lalu.

Terdahulu, Syed Agil dan seorang lagi pemain negara, Shamirul Shahril, terkandas di Mesir dan terpaksa menunggu lampu hijau daripada kedutaan Malaysia untuk pulang ke tanah air.

Program latihan dan perancangan kejohanan mereka di negara itu terpaksa dibatalkan berikutan penularan wabak berkenaan yang semakin meruncing.

Syed Agil, bagaimanapun, bersyukur kerana dengan bantuan daripada Persatuan Tenis Malaysia (LTAM), dia selamat tiba di tanah air kelmarin dan selepas menjalani ujian saringan, dia didapati tidak mengalami sebarang jangkitan.

Sebagai atlet yang bertanggungjawab, Syed Agil tetap akan meneruskan tempoh kuarantinnya sehingga cukup 14 hari.

"Saya hendak ucapkan terima kasih banyak kepada LTAM kerana bekerja keras membantu kami pulang ke tanah air.

"Selepas disahkan negatif, saya amat bersukur dan pada masa sama masih panik.

"Saya buat apa-apa juga dalam keadaan panik.

"Kita semua kena duduk rumah, kita semua tidak boleh keluar.

"Saya dapat nampak ada yang masih berdegil dan melakukan aktiviti di luar (rumah).

"Setiap kali itu juga saya berasa panik," katanya.