Naomi Osaka memberikan 100 peratus sokongan terhadap penundaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 sambil berkata semangat Sukan Olimpik diperlukan bagi memerangi wabak Covid-19.

Sukan Olimpik, yang sepatutnya bermula Julai depan, terpaksa ditunda ke 2021 berikutan pandemik Covid-19, yang sudah mengorbankan hampir 30,000 mangsa di seluruh dunia dan lebih 645,000 kes jangkitan direkodkan.

Keputusan penundaan itu diumumkan pada awal minggu ini dan bintang tenis dunia, Osaka, turut bersetuju dengan keputusan itu walaupun dia juga perlu menunda hasratnya untuk beraksi di pentas terbesar itu di laman sendiri.

Pemain Jepun dengan dua gelaran grand slam itu menulis dalam laman Instagramnya: "Saya memikirkan selama beberapa hari ini tentang bagaimana untuk menyuarakan pendapat saya dan sekarang, inilah ia.

"Semua tahu betapa Sukan Olimpik amat bermakna buat saya dan betapa bangganya saya untuk menyertainya di negara saya.

"Sudah pasti saya kecewa kerana ia tidak dapat berlangsung tahun ini tetapi kita semua perlu bersedia dengan lebih kuat pada 2021.

"Saya menyokong 100 peratus keputusan Perdana Menteri, (Shinzo) Abe dan IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa).

"Sukan akan menyatukan kita semula dan ia sentiasa sebegitu tetapi sekarang ini bukanlah waktu yang sesuai.

here’s where my brain is. you’re not obligated to read this, it’s more in regards to the Olympics @tokyo2020 tbh.

A post shared by 大坂なおみ (@naomiosaka) on


"Sekarang waktu untuk semua negara, semua latar belakang dan kaum untuk bersama-sama menyelamatkan sebanyak mana yang nyawa yang kita mampu.

"Bagi saya, itulah semangat Sukan Olimpik sebenar.

"Kepada rakyat Jepun: terus tabah, kekal seperti itu dan ayuh tunjukkan kepada dunia betapa indahnya negara kita pada waktu yang sesuai, 2021.

"Jaga diri semua, jaga sesama sendiri, buat kebaikan dan kita pasti dapat melaluinya," katanya.