Bintang Australia, Nick Kyrgios, menarik diri daripada Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) berikutan kebimbangan pandemik COVID-19.

Terbuka AS akan berlangsung di New York pada 31 Ogos ini tetapi Kyrgios tidak akan beraksi di Flushing Meadows bagi menghormati rakan-rakannya yang berbangsa Australia dan Amerika yang terkorban kerana wabak berkenaan.

Kyrgios lantang bersuara sepanjang saingan ATP direhatkan dengan menyelar Kejohanan Jelajah Adria yang dianjurkan Novak Djokovic -- kejohanan jemputan pada Jun lalu yang menyaksikan bintang Serbia itu, Grigor Dimitrov, Borna Coric dan Viktor Troicki diuji positif virus berkenaan.

"Ayuh mengambil sedikit nafas dan mengingati apa yang penting, iaitu kesihatan dan keselamatan sebagai satu komuniti. Kita boleh membina semula sukan ini dan ekonomi tetapi kita tidak dapat mengembalikan nyawa yang terkorban," kata Kyrgios dalam satu video yang diterbitkan Uninterrupted selepas pemain wanita nombor satu dunia dan rakan senegaranya, Ashleigh Barty, turut menarik diri daripada kejohanan grand slam itu.

"Saya tidak ada masalah apabila USTA (Persatuan Tenis AS) memilih untuk menganjurkan Terbuka AS dan jika pemain mahu menyertainya, ia terpulang kepada mereka selagi setiap orang bertindak sepatutnya dan selamat.

"Tiada siapa mahu setiap orang mengekalkan pekerjaan mereka lebih daripada saya.

"Saya bercakap mengenai mereka yang bekerja di restoran, tukang cuci dan pelayan di bilik persalinan.

"Mereka adalah golongan yang memerlukan pekerjaan mereka dan ia amat baik untuk membantu mereka.

"Tetapi sebagai pemain tenis, kita perlu bertindak berdasarkan kepentingan sesama kita dan bekerjasama.

"Anda tidak boleh berdansa di atas meja, mengaut wang di Eropah dan mencari keuntungan besar dengan menganjurkan kejohanan jemputan. Ia amat mementingkan diri sendiri.

"Sesekali fikirkan mengenai orang lain. Ia tentang virus berkenaan.

"Ia tidak mengambil kira ranking dunia atau berapa banyak wang anda. Jadilah orang yang bertanggungjawab.

"Kepada pemain yang mengetahui peraturannya dan masih mementingkan diri, semoga berjaya buat anda. Bermainlah dengan risiko yang akan ditanggung sendiri dan saya tiada masalah mengenainya.

"Saya tidak akan bermain dalam Terbuka AS tahun ini.

"Ia amat menyakitkan apabila saya tidak dapat beraksi di salah sebuah arena sukan terhebat, iaitu Stadium Arthur Ashe.

"Tetapi saya melakukannya demi orang ramai, seluruh warga Australia saya dan ribuan rakyat AS yang telah kehilangan nyawa, untuk anda semua.

"Ia adalah keputusan saya sama ada anda suka atau tidak. Dan itulah alasan saya," katanya.