Andy Murray percaya tenis akan menjadi antara sukan terakhir yang kembali ekoran wabak coronavirus.

Acara sukan di seluruh dunia ditangguhkan susulan Covid-19 yang telah meragut lebih 183,700 nyawa.

Tatkala larangan melancong diwujudkan dalam kebanyakan negara, tenis dijangka bakal menerima kesan lebih lama berbanding sukan lain sambil saingan Jelajah ATP dan WTA ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga 13 Julai nanti.

Murray -- yang bakal kembali beraksi selepas berehat akibat kecederaan pinggul -- berkata dia menjangkakan tenis bakal menjadi antara sukan terakhir untuk bersambung.

"Saya sedia beraksi di atas gelanggang tanah liat jika terpaksa. Saya cuma fikir bila tempoh akan beraksi," katanya.

"Saya membayangkan tenis bakal menjadi antara sukan terakhir untuk kembali normal kerana jelas sekali kami memiliki pemain dan jurulatih serta pasukan dari seluruh dunia.

"Saya terkejut jika kami dapat kembali pada September nanti tetapi lihat nanti."


Great Britain antara negara yang teruk dilanda wabak itu selepas melibatkan 133,400 kes dan lebih 18,000 kematian.

Pada bulan lalu, Murray, 32, berkata dia berasa tidak sihat walaupun tidak pasti sama ada dijangkiti Covid-19 atau tidak.

"Kira-kira empat minggu lalu, saya berasa sakit selama dua atau tiga hari. Sebenarnya, sebelum proses kuarantin bermula, saya telah menjalaninya secara sendiri selama empat hingga lima hari," tambahnya.

"Kebanyakan orang yang saya temui berkata ia tanda-tanda simptom tetapi sukar untuk mengetahui anda dijangkiti virus atau tidak.

"Jelas sekali, ujian menyelamatkan orang ramai daripada situasi itu termasuk pekerja Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di dalam negara ini."