Jelajah WTA digantung sehingga 2 Mei depan disebabkan pandemik koronavirus baru (Covid-19).

Kejohanan di Stuttgart, Istanbul dan Prague tidak dapat dianjurkan seperti yang dirancang.

Pembatalan terbaru itu turut melibatkan Terbuka India Wells, Charleston dan Miami di Amerika Syarikat (AS) termasuk kejohanan di Bogota dan Guadalajara.

Dalam masa sama, pihak penganjur, Tour, akan membuat keputusan mengenai status kejohanan tanah liat di Eropah pada minggu ini.

Menurut satu kenyataan WTA: "Oleh kerana wabak koronavirus ketika ini, kejohanan WTA di Stuttgart, Istanbul dan Prague tidak akan diadakan seperti yang dijadualkan.

"Kami amat kesal bagi pihak peminat setia, pemain, penaja dan semua orang yang menyokong pemain tenis profesional wanita.

"Setakat ini, Jelajah WTA digantung sehingga 2 Mei depan. Pada minggu depan, kami akan memutuskan mengenai baki kejohanan tanah liat WTA di Eropah dan akan terus mengawasi situasi ini dengan teliti dan impaknya dalam Jelajah WTA musim ini."

Petra Martic memenangi gelaran Jelajah WTA sulungnya dalam Piala Istanbul tahun lalu sementara Petra Kvitova pula menguasai Terbuka Stuttgart.

Kejohanan itu sepatutnya diadakan dari 20 hingga 26 April manakala Terbuka Prague -- Jil Teichmann menjuarainya tahun lalu -- pada minggu berikutnya.