Covid 19: Kejohanan Indian Wells dibatalkan

Oleh Staff Writer 9 Mac 2020 25
Covid 19: Kejohanan Indian Wells dibatalkan
Kejohanan Tenis Masters Indian Wells dan Terbuka Indian Wells tidak akan berlangsung pada tarikh yang ditetapkan kerana kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Kejohanan di bawah kalendar jelajah WTA dan ATP itu sepatutnya bermula Rabu dan Khamis ini tetapi pihak penganjur mengumumkan bahawa ia tidak akan berlangsung pada tarikh berkenaan bagi menjamin keselamatan pemain dan penonton.

Jabatan Kesihatan Awam Riverside mengisytiharkan darurat selepas terdapat kes Covid-19 disahkan di kawasan itu.

Pengarah kejohanan, Tommy Haas, berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk mengadakan acara itu pada tarikh lain sepanjang tahun ini.

"Kami amat kecewa kerana kejohanan ini tidak dapat diteruskan tetapi faktor kesihatan dan keselamatan komuniti tempatan, penyokong, pemain, sukarelawan, penaja, pekerja, vendor dan kesemua yang terlibat perlu dijadikan keutamaan," katanya dalam satu kenyataan.

"Kami bersedia untuk menganjurkan kejohanan ini pada tarikh lain dan akan melihat segala kemungkinan."
  Profesor perubatan dan kejuruteraan bioperubatan di University of Southern California, Dr. David Agus, berkata: "Terdapat risiko yang besar untuk mengadakan perhimpunan berskala besar di sekitar Riverside County buat masa ini.

"Kita perlu bekerjasama untuk melindungi komuniti ini daripada penularan wabak Covid-19."

Wabak Covid-19 telah membunuh lebih 3,800 orang mangsa dengan lebih 110,000 kes disahkan di seluruh dunia.

Terdapat lebih 500 kes disahkan dan 21 kematian di Amerika Syarikat.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen