Roger Federer mendapat ilham terbaik untuk memastikan sentuhannya tidak pudar sepanjang penularan wabak koronavirus baru (Covid-19) ketika ini.

Penyebaran pandemik itu memaksa kejohanan kelolaan Jelajah ATP dibatalkan hingga Jun depan.

Begitupun, Federer, yang kini dalam tempoh pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut, membuktikan seruan kerajaan agar semua penduduk kekal di dalam rumah tidak menghalangnya daripada terus mengamalkan sukan itu.

Dalam video yang dimuat naik ke akaun Twitter peribadinya, pemain dari Switzerland itu dalam keadaan bersalji membuat pukulan melalui celah kakinya dan dari belakang badan ke arah dinding.


"Bagi memastikan saya masih ingat bagaimana untuk membuat pukulan muslihat #TennisAtHome," katanya.

Juara 20 Grand Slam itu pada minggu lalu telah berjanji untuk menderma RM4.5 juta bagi membantu masyarakat di tanah airnya yang terjejas teruk akibat krisis koronavirus.

Terdapat hampir 16,000 kes positif Covid-19 di Switzerland dengan melibatkan 359 kematian.