Roger Federer mencabar golongan selebriti dan peminat untuk menyertai latihan voli menerusi media sosial, semalam.

Tatkala Jelajah ATP ditangguhkan akibat wabak coronavirus, pemenang 20 kali grand slam itu jelas mahu terus berinteraksi dengan peminat dalam media sosial.

Menerusi video dalam Twitter, Federer -- yang menggunakan topi -- membuat pukulan voli berulang kali ke arah dinding dari jarak dekat dan meminta penonton melakukan perkara sama.

"Ini adalah latihan solo yang boleh membantu. Lihat apa boleh kami lakukan!" katanya.

"Balas dengan satu video dan saya akan berikan sedikit rahsia. Pilih topi yang bersesuaian #tennisathome."

Ramai peminat yang dilihat melakukan cabaran itu dan Federer memberikan reaksi terhadap sebahagian daripadanya.