Sekumpulan pemain dan kakitangan Terbuka Australia diarah supaya dikuarantin selama dua minggu selepas dua individu dalam penerbangan mereka ke Melbourne diuji positif COVID-19.

Kira-kira 1,200 pemain dan kakitangan tiba di Melbourne menjelang Grand Slam Terbuka Australia, bermula 8 Februari depan.

Dalam satu kes penerbangan dari Los Angeles yang mendarat semalam, dua kes positif dikesan sebelum dua pemain, Pablo Cuevas dan Santiago Gonzalez, tampil berkongsi sepucuk yang menyatakan: "Malangnya, kami telah diberitahu oleh pihak berkuasa kesihatan bahawa dua orang dalam penerbangan QR7493 kami dari LAX yang tiba pada jam 5.15 pagi semalam dikesan positif COVID-19 melalui kaedah 'PCR' sejurus tiba di Melbourne."

"Ketua pegawai kesihatan telah memeriksa penerbangan itu lalu memutuskan bahawa setiap orang yang berada di dalam pesawat berkenaan perlu menjalani kuarantin dan akan dikurung di bilik mereka selama 14 hari."



Dua ujian positif itu dilaporkan terdiri daripada anak kapal dan penumpang lain, bukannya pemain.

Pemain akan dibenarkan berlatih selama lima jam sehari, namun mereka yang berada dalam penerbangan itu perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) selama dua minggu.

Wilayah Victoria pada hari ini mencatatkan hari ke-10 berturut-turut tanpa kes baru dalam kalangan tempatan.