Novak Djokovic menolak penggunaan vaksin dan perlu membuat keputusan seandainya ia menjadi perkara wajib bagi membolehkannya beraksi ketika dunia dilanda wabak novel koronavirus (Covid-19).

Jelajah ATP terpaksa ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya 13 Julai depan berikutan pandemik itu sementara Kejohanan Wimbledon telah dibatalkan buat pertama kalinya sejak Perang Dunia Kedua.

Berikutan sekatan perjalanan di seluruh dunia, tenis mungkin merupakan salah satu sukan terakhir yang akan disambung semula jika ia dapat disambung pada 2020.

Juara Grand Slam sebanyak 17 kali dan pemain nombor satu dunia itu pernah menyuarakan penentangan terhadap penggunaan vaksin, oleh itu dia perlu membuat pendiriannya sekiranya ia menjadi wajib.





"Secara peribadinya, saya tidak menyokong vaksin dan tidak akan menyukainya jika saya terpaksa menggunakannya supaya saya dapat melakukan melakukan siri jelajah," katanya ketika berbual bersama rakan-rakan atlet Serbia di Facebook semalam.

"Sekiranya mereka menjadikannya langkah wajib, apa yang akan terjadi? Maka saya harus memutuskan apakah saya akan meneruskannya atau tidak.

"Saya mempunyai pendapat tersendiri mengenainya ketika ini tetapi sama ada akan berubah, saya tidak tahu tetapi itu secara langsung memberi kesan kepada pekerjaan saya -- kepada tenis profesional -- dan sama ada saya akan dapat menjelajah atau tidak."

Pakar perubatan telah mencadangkan vaksin untuk koronavirus itu akan disiapkan sekurang-kurangnya 12 bulan lagi.

Terdapat lebih daripada 2.4 juta kes koronavirus yang telah disahkan dengan jumlah kematian melebihi 165,000 orang.