Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, akan kembali ke gelanggang bulan depan dalam aksi jelajah di Balkan.

Penularan wabak koronavirus baru (Covid-19) -- dan penangguhan Jelajah ATP yang seterusnya -- bermakna Djokovic tidak dapat beraksi sejak mengalahkan Stefanos Tsitsipas dalam final Kejohanan Tenis Dubai Februari lalu.

Jelajah ATP tidak akan disambung sehingga setidak-tidaknya Ogos depan, tetapi pemain Serbia tersebut mengesahkan bahawa dia akan mengambil bahagian dalam kejohanan baru yang akan dilancarkan di negara kelahirannya itu.

Jelajah Adria diadakan di empat negara -- Serbia, Croatia, Montenegro dan Bosnia-Herzegovina -- yang bakal berlangsung pada 13-14 Jun, 20-21 Jun, 27-28 Jun dan 3-4 Julai.

Djokovic, yang mencapai usia 33 tahun semalam, akan beraksi dalam setiap siri itu selain akan menentang pemain Bosnia, Damir Dzumhur, dalam pertarungan terakhir di Sarajevo, 5 Julai depan.



Tulisnya Twitter: "Saya bangga dapat berkongsi berita secara rasmi bahawa #AdriaTour akan diadakan di #Balkan dari 13 Jun hingga 5 Julai depan, bermula dengan kejohanan di Belgrade. Sangat bersyukur kerana kami dapat menjadikan ini satu kenyataan untuk beraksi dan menyokong projek kemanusiaan di seluruh rantau ini."

Penganjur kejohanan itu mengatakan bahawa tujuan siri berkenaan adalah untuk mengumpulkan dana bagi "projek kemanusiaan di seluruh wilayah tersebut" serta membantu pemain tenis kembali cergas sepanjang penangguhan Jelajah ATP.

Selain Djokovic, pemain nombor tiga dunia kelahiran Austria, Dominic Thiem, juga mengesahkan penyertaannya termasuk Grigor Dimitrov dari Bulgaria dan pemain Serbia, Viktor Troicki.

Penganjur mengatakan tiket akan dijual kepada peminat sekiranya "kehadiran penonton dibenarkan".