Boris Becker tidak percaya Terbuka Amerika Syarikat (AS) wajar diteruskan mengikut jadual asal di sebalik krisis novel koronavirus (Covid-19) ketika ini.

Lebih 23,000 orang menemui ajal di New York yang terjejas teruk akibat pandemik itu tetapi penganjur Terbuka AS masih merancang untuk meneruskan acara grand slam itu penghujung Ogos depan.

Kejohanan Wimbledon telah pun dibatalkan akibat wabak itu sementara Terbuka Perancis ditangguhkan ke September depan biarpun timbul kesangsian penganjuran kejohanan di Paris itu.

Juara grand slam enam kali itu berpendapat adalah tidak bijak untuk meneruskan kejohanan grand slam terakhir tahun ini itu di Flushing Meadows dalam masa empat bulan lagi.

Dia mengulas perkara itu kepada Laureus.com: "New York muncul bandar raya terburuk yang dilanda virus itu sejak beberapa minggu lalu. Saya rasa adalah tidak bijak jika meneruskan kejohanan di sana."

Becker juga menekankan tuntutan penggabungan Jelajah ATP dan WTA.


Menurutnya lagi: "Saya rasa kita sedang mengalami krisis dalam tenis. Selain daripada kelompok 10, 50 dan mungkin 75 lelaki dan wanita pemain utama dunia, pemain profesional yang lain pula masih memerlukan gaji mingguan mereka, mereka memerlukan wang hadiah mereka.

"Hakikatnya mereka tidak dapat beraksi bahkan tidak boleh pergi ke gelanggang dan memperbaiki permainan kerana penjarakan sosial.

"Kita harus bertanya pada diri sendiri apakah sukan ini cukup untuk menawarkan pekerjaan kepada 1,000 orang. Sebelum krisis ini bermula, jawapan segeranya adalah ya, tetapi saya yakin banyak kejohanan kecil yang tidak dapat dilangsung berdepan kesukaran daripada segi kewangan, mereka telah kehilangan banyak wang kerana tidak dapat menjadi tuan rumah. Jadi ini semua hanya menunggu masa."

Pemain legenda dari Jerman itu juga memuji keberanian Roger Federer dalam membangkitkan soal penggabungan jelajah lelaki dan wanita.

Ia bertujuan untuk membolehkan atlet lelaki dan wanita menikmati jumlah wang yang sama.