Andy Murray menarik diri daripada Kejohanan Tenis Terbuka Delray Beach minggu depan berikutan kebimbangan penularan COVID-19.

Bekas pemain nombor satu dunia itu diberi tiket peluang khas untuk acara di Florida itu untuk menyertai kejohanan sulungnya pada 2021.

Pemain Scotland berusia 33 tahun itu, bagaimanapun, yang mengalami kecederaan pinggul menganggap penarikan dirinya bukan atas dasar masalah kecergasan.

Sebaliknya, wabak yang berterusan mengancam dunia itu memaksa Murray memikirkan semula perancangannya sebagai persiapan menghadapi Terbuka Australia.

Pemenang tiga grand slam itu berkata: "Selepas berbincang panjang lebar dengan pasukan, saya memutuskan untuk tidak beraksi di Delray Beach.

"Memandangkan kenaikan kadar kes COVID-19 dan faktor perjalanan, saya ingin meminimumkan risiko menjelang Terbuka Australia.

"Saya sangat bersyukur kerana menerima undangan untuk menyertai kejohanan ini dan saya berharap dapat beraksi di sana tidak lama lagi."

Finalis lima edisi Terbuka Australia itu menerima tiket peluang khas menjelang perebutan grand slam pertama musim ini yang akan bermula awal bulan depan dengan protokol mewajibkan pemain menjalani kuarantin selama 14 hari sebaik tiba di Melbourne.