Yannick Hanfmann menewaskan rakan senegara di Jerman, Dustin Brown, untuk menjuarai Kejohanan Pertunjukan Tennis-Point di gelanggang pintu tertutup meskipun trofi itu mungkin tidak akan mendapat tempat dalam koleksinya.

Kejohanan, yang menjadi pelopor itu, melibatkan lapan pemain bersaing di Base Tennis Academy, Hohr-Grenzhausen, dan berakhir semalam yang menyaksikan Hanfmann menguasai kedudukan teratas dalam format liga sepusingan tatkala dunia dilanda krisis novel koronavirus (Covid-19).

Pemain di tangga ke-143 dunia itu dan Brown melangkah masuk ke gelanggang dengan memakai topeng muka bagi pertarungan yang berlangsung tanpa kehadiran penonton, pengutip bola mahupun penjaga garisan.


Dalam format pertarungan tujuh game terbaik itu, Hanfmann mempamerkan keunggulannya dengan kejayaan 4-2, 4-0.

Pemenang kemudian menerima piala yang terdiri daripada bola tenis dan segulung tisu tandas dengan penyerahannya disempurnakan oleh seseorang yang memakai topeng dan sarung tangan.

Kejohanan kedua Tennis Point akan bermula Khamis ini dan biarpun pilihan pemain agak terhad berikutan sekatan perjalanan antarabangsa, penganjur menerusi Twitter memaklumkan "mungkin ada satu atau dua kejutan dalam kejohanan berikutnya".