Novak Djokovic semakin hampir memburu kejuaraan keenamnya dalam Jelajah Akhir Persatuan Tenis Profesional (ATP Akhir) selepas menewaskan Kevin Anderson di peringkat separuh akhir.

Djokovic dalam prestasi terbaik sejak Kejohanan Wimbledon lalu, dengan kemenangan 6-2, 6-2 di London itu membolehkan dia kini meraih 35 kemenangan daripada 37 perlawanan terakhir -- rekod yang menyaksikan dia turut memenangi dua gelaran grand slam dan kembali ke kedudukan nombor satu dunia.

Dia memaparkan aksi sensasi dalam kejohanan penutup musim itu dengan melayakkan diri ke final bagi berdepan Alexander Zverev yang pernah ditewaskannya ketika pusingan round-robin sebelum ini.

Pemain kelahiran Serbia itu hanya memerlukan 75 minit bagi merakam kemenangan straight set dan hanya melepaskan tujuh mata melalui servis untuk kini merekodkan lapan kemenangan beturut-turut ke atas Anderson.

Anderson jelas dalam tekanan tinggi apabila kerap dikecewakan pertahanan kemas yang dipamerkan Djokovic.

Ketahanan Djokovic melalui rally panjang serta mematahkan servis kencang Anderson menyaksikan pemain Afirka Selatan itu terpaksa akur tersingkir kepada lawan yang lebih baik.