Novak Djokovic kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan John Isner 6-4, 6-3 dalam Kejohanan ATP Akhir di London, awal pagi tadi.

Pemain nombor satu dunia itu merekodkan 22 kemenangan berturut-turut sebelum tewas kepada Karen Khachanov dalam aksi final Kejohanan Masters Paris, dua minggu lalu.

Namun, Djokovic bangkit memaparkan aksi menghiburkan dalam kejohanan penutup musim itu.

Di hadapan penonton yang penuh keterujaan, termasuk bintang bola sepak Juventus, Cristiano Ronaldo, Djokovic tidak memberikan sebarang ruang untuk Isner bersaing dalam perlawanan tersebut.

Djokovic menamatkan aksi pembukaan tersebut menerusi kemenangan straight set, sekaligus memaparkan keyakinan untuk mendominasi kejohanan yang pernah dijuarainya sebanyak lima kali itu.

Jaguh Serbia itu memperoleh mata pertama melalui kesalahan berganda Isner -- terkenal dengan servis berkualiti -- yang terlepas dua mata break sebelum Djokovic menghasilkan pukulan silang kemas yang mematahkan servis pemain itu.

Juara 14 kali grand slam itu terus mendominasi perlawanan dengan mempertaruhkan kekuatan servis ace miliknya.

Djokovic memenangi set pertama dan terus bersaing dengan Isner dalam set berikutnya walaupun pemain nombor 10 dunia itu terlebih dahulu memperoleh mata pembukaan.

Pukulan drop tidak kemas daripada Isner menyaksikan Djokovic berlari mengejar bola sebelum mendapat sambutan hangat penonton apabila reaksi balas daripada Isner sekadar singgah di jaring.

Djokovic kemudian membuktikan jurang kualiti yang dimilikinya menerusi kekuatan servis yang terus menghujani Isner sebelum menang 6-3 dalam set kedua.