Bianca Andreescu tidak akan turun mempertahankan kejuaraan masters Indian Wells minggu depan dalam usaha mengelakkan kecederaan lutut berulang.

Bintang Kanada itu meraih kejuaraan pertama Jelajah WTA di California tahun lalu sekali gus meraih permulaan hebat bagi 2019.

Dia kemudian unggul dalam Piala Rogers serta Terbuka Amerika Syarikat sebelum mengalami kecederaan lutut dalam final WTA.

Sejak itu, pemain nombor empat dunia itu tidak beraksi dan kini tidak bercadang untuk kembali dalam saingan WTA terdekat.

"Seperti yang anda tahu, saya berusaha untuk pulih daripada kecederaan yang dialami ketika pusingan akhir WTA tahun lalu," katanya.

"Satu tempoh yang panjang untuk pulih dan apabila saya cuba untuk kembali ke gelanggang serta mempertahankan kejuaraan di Indian Wells, saya masih 100 peratus cergas.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih atas semua sokongan dan mereka yang terus bersama saya. Kata-kata positif anda membantu semangat saya.

"Walaupun saya kecewa tidak dapat beraksi minggu depan dalam kejohanan yang memberikan banyak memori, kini saya fokus dalam proses pemulihan dan bekerja keras untuk segera kembali ke gelanggang."