Sukma 2018: Terengganu kecewa tiga sukan digugurkan

Oleh Tengku Danish Bahri 13 Disember 2017 1638
Sukma 2018: Terengganu kecewa tiga sukan digugurkan
Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu, Datuk Rozi Mamat, terkejut dengan pengguguran sukan angkat berat, sepak takraw dan taekwoando daripada Sukan Malaysia (Sukma) di Perak dari 12 hingga 22 September tahun depan.

Menurutnya, sebagai penggiat sukan di negeri itu, kata putus saat akhir tersebut merugikan semua pihak yang telah melakukan persediaan daripada segi masa dan wang ringgit.

Rozi turut mengakui kecewa memandangkan Terengganu sendiri telah memasuki fasa akhir persiapan, termasuk menjalani latihan di luar negara serta elaun kepada atlet dan pegawai mereka.

"Terengganu dibarisi atlet bertaraf kebangsaan dan saya yakin negeri-negeri lain juga sama.

"Banyak pelaburan telah dibuat sejak tahun lepas. Jadi, saya berharap Jawatankuasa Tertinggi Sukma dapat menimbang semula keputusan itu,” ujarnya.

Sementara itu, jurulatih sepak takraw Terengganu, Mohd Futra Abd Ghani, yang kini berada di Bangkok, Thailand, menyifatkan pembangunan akar umbi akan berkubur dengan keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu.

Legenda negara itu berkata, moral atlet sudah tentu akan menurun, menyebabkan hasrat menyarung jersi negara terpaksa dilupakan kerana sepak takraw sudah tidak dipertandingkan.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia memberi kesan tidak baik, malah tidak adil kepada atlet. Bagaimana dengan nasib atlet-atlet saya yang sudah berlatih sejak bertahun-tahun?

“Kami berlatih di luar negara dan saya lihat semangat mereka sudah luntur kerana perlu mencari pekerjaan lain tahun depan,” katanya. 

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, semala, mengumumkan angkat berat, sepak takraw dan taekwondo akan digugurkan daripada Program Majlis Sukan Negara (MSN) gara-gara masalah prestasi dan disiplin.

Situasi itu sekaligus menyaksikan sukan berkenaan tidak akan dipertandingkan dalam temasya sukan dwi-tahunan itu, tahun depan.

Untuk rekod, Terengganu meraih tujuh pingat emas, tujuh perak dan sembilan gangsa melalui tiga sukan itu dalam Sukma 2016 di Sarawak.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen