Gagal doping, dua atlet Sukma hanya digantung kurang setahun

Oleh Staff Writer 16 Oktober 2016 14
Gagal doping, dua atlet Sukma hanya digantung kurang setahun

Dua atlet memanah Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak yang didapati positif doping sibutramine masing-masing hanya dijatuhkan hukuman ringan oleh Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) selepas mesyuarat pendengaran kes itu hari ini.

Kedua-dua atlet, masing-masing dari Terengganu dan Kedah, dikenakan hukuman gantung hanya enam dan lapan bulan. 

Menurut Pemangku Setiausaha Kehormat NAAM, Major (B) Amir Suharman Adnan, hukuman berbeza yang diputuskan adalah berdasarkan had umur mereka, masing-masing 17 tahun dan 21 tahun, yang mengaku bersalah tanpa menyedari mengambil sibutramine yang terdapat dalam pil pelangsing badan dan disahkan positif doping dalam Sukma Sarawak, Julai lalu.

"Hukuman empat tahun adalah bagi atlet yang berniat mengambil bahan terlarang manakala dua tahun adalah hukuman bagi pengambilan tanpa niat.

"Kami berpendapat sibutramine ini tidak memberi impak besar terhadap prestasi atlet memanah," jelas Major (B) Amir Suharman.

Setiausaha Persatuan Memanah Negeri Terengganu, Mohd Zamzaini Zolkeffi, menyifatkan hukuman tersebut adalah wajar kerana kesedaran yang kurang oleh atlet berkenaan mengenai bahan terlarang itu.

"Faktor utama adalah atlet terlalu naif. Mereka tidak mempunyai pengetahuan terhadap penggunaan bahan terlarang itu," ujar Zamzaini .

Bagi penolong pengurus Persatuan Memanah Negeri Kedah, Mohd Asri Ghazali, dia menerima hukuman yang lebih lama kerana sedar atletnya itu berstatus pemanah kebangsaan yang lebih berpengalaman.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen