Atlet Sukma Sabah terima insentif

Oleh Willie Jude 8 November 2018 155
Atlet Sukma Sabah terima insentif
Kerajaan negeri Sabah memberikan insentif berjumlah RM406,700 kepada atlet Sabah yang berjaya meraih pingat dalam Sukan Malaysia (Sukma) Ke-18 di Perak, baru-baru ini.

Pasukan sepak takraw wanita yang menyumbangkan tiga pingat emas dan satu perak menerima jumlah insentif paling banyak, iaitu RM56,700.

Pasukan hoki lelaki dan wanita Sabah yang masing-masing memperoleh pingat emas serta perak mengumpul jumlah insentif sebanyak RM48,600 bagi menjadikan mereka pasukan kedua menerima insentif terbanyak.

Pasukan lain yang turut menerima insentif mengikut kategori sukan ialah olahraga (RM36,950); pencak silat (RM34,950); memanah (RM32,7500); akuatik (RM27,900); ragbi (RM27,000); angkat berat (RM26,600); karate (RM21,800); dan pelayaran (RM19,100). 

Lain-lain sukan ialah tenpin boling (RM12,000); tinju (RM10,200); berbasikal (RM9,400); Muay (RM9,150); bola sepak (RM6,400); gimnastik artistik (RM4,700); judo (RM4,200); skuash (RM3,300); boling padang (RM2,300); serta judo (RM700).

Sementara itu, pengurus pasukan yang atletnya berjaya meraih pingat turut diberi insentif sebanyak RM2,000 setiap seorang.

Atlet memanah yang juga olahragawan Sukma Ke-18, Eugenius Loh Foh Soon, bersama jurulatihnya, Gabriel Liew, turut menerima insentif khas, masing-masing sebanyak RM8,000 dan RM4,000.

Eugenius juga menjadi penerima insentif paling banyak secara individu dengan jumlah RM34,750 selepas dia berjaya menyumbangkan empat pingat emas dan dua perak.

Majlis penyampaian insentif itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Frankie Poon Ming Fung.

Turut hadir, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Arunarnsin Taib, Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah, Datuk Louis Rampas, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Terrance Edward Pudin dan Ahli Majlis Sukan Negara, Batholomew Jingulam.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen