Zaidatul Husniah Zulkifli perlu mempertahankan maruahnya selaku ratu pecut negara dalam Kejohanan Innotex SSBJ hujung minggu ini walaupun Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak akan mengubah senarai atlet ke Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

KOM hanya akan menukar senarai itu seandainya berlaku sebarang kecederaan pada saat-saat akhir.

Ia bermakna tempat untuk pelari pecut seperti Zaidatul Husniah sudah terjamin.

Namun, pelari berusia 26 tahun itu perlu mempertahankan maruahnya apabila menentang pelari yang tidak terpilih dalam acara 100 meter ke temasya itu seperti S. Komalam Shally, Azreen Nabila Alias dan Nurul Faizah Asma Mazlan.

"Saya tidak pandang mudah kepada setiap pencabar kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

"Jadi, saya fokus kepada catatan peribadi," katanya di Bukit Jalil.

Catatan terbaiknya musim ini ialah 11.65 saat untuk meletakkannya di ranking keenam Asia Tenggara.

Olimpian edisi 2016 itu akan diiringi pelari senior, Siti Fatimah Mohamad ke Manila.

"Saya tidak terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri.

"Saya tidak mahu meletakan sebarang sasaran catatan masa, biarlah hanya saya yang tahu apa yang saya mahukan.

"Saya mahu fokus kepada larian sahaja."