Hanya pingat emas mampu membuktikan kewibawaan ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, selepas diletakkan dalam kategori B menjelang Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

Pelari negara itu terpaksa beraksi di bawah kategori B selepas gagal melepasi syarat merit yang ditetapkan -- menduduki sekurang-kurangnya ranking ketiga Asia Tenggara.

Bagaimanapun, Zaidatul Husniah sedang bekerja keras untuk memburu pingat emas dalam tiga acara yang disertainya, iaitu 100 meter, 4x100 meter wanita dan 4x100 meter campuran.

Cabaran utama yang akan dihadapinya pasti melibatkan pasukan tuan rumah yang memiliki pelari berdarah campuran dari Amerika Syarikat.

"Saya tidak mahu terlalu menginginkannya kerana takut tidak dapat.

"Fokus saya sekarang hanya dalam latihan dan saya mahu berkerja keras sepanjang masa yang ada ini.

"Saya akan beri 100 peratus sebelum ke Sukan SEA," katanya.

Dalam pada itu, atlet berusia 25 tahun berkenaan menyasarkan pingat dalam ketiga-tiga acara yang disertainya.

"Setiap acara memiliki cabaran tersendiri.

"Acara indvidu (cabarannya) lain dan berpasukan juga lain.

"Jadi, saya perlu membiasakan diri dengan setiap acara," tambahnya.