Skuad wusyu negara, yang menjadi lubuk pingat emas dua tahun lalu, tetap optimis mampu meraih pingat walaupun menyenaraikan dua atlet baru, Sydney Chin dan Calvin Lee, dalam Sukan SEA Filipina.

Skuad wusyu negara di landasan baik menjelang temasya dwitahunan itu apabila meraih tiga emas dan tiga perak dalam Kejohanan Dunia, September lalu.

Namun, dalam edisi kali ini, Malaysia kehilangan khidmat dua juara dunia, Tan Cheong Min dan Chuah Shyang Yang, memandangkan acara yang disertai mereka tidak dipertandingkan.

Bagaimanapun, barisan atlet wusyu senior yang diketuai Wong Weng Son, Yeap Wai Kin dan Loh Choon How percaya penyertaan dua atlet baru dalam skuad Sukan SEA kali ini mampu menghadiahkan pingat kejutan.

"Kali ini kami melakukan persiapan dengan baik, kami berlatih lebih banyak berbanding edisi lalu.

"Dalam persiapan kali ini, kami tidak berdepan kemungkinan untuk melakukan kesilapan.

"Kami yakin kerana persiapan setakat ini di landasan yang baik," jelas Weng Son.

Nada sama turut disuarakan rakan sepasukannya, Wai Kin : "Atlet-atlet muda juga setaraf kami."

Tambah Choon How: "Prestasi mereka hampir menyamai kami, jadi taraf mereka juga baik."

Dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu, skuad negara meraih enam emas, lima perak dan tiga gangsa.