Wusyu: Choon How ceria tunai hajat 

Oleh Penulis Jemputan 1 Disember 2019 132
Wusyu: Choon How ceria tunai hajat 
"Akhirnya berjaya."

Itu ekspresi yang dipamerkan atlet wusyu negara, Loh Choon How, apabila meraih pingat emas dalam acara taijiquan lelaki pagi tadi bagi penampilan ketiganya dalam Sukan SEA. 

Skuad wusyu negara melakar pingat kejutan apabila atlet berusia 26 tahun tersebut berjaya memikat hati dan mata juri dengan mengutip 9.68 mata untuk mengatasi peserta Brunei, Wong Zheng Yu, dengan catatan 9.59 mata bagi memungut perak.

Gangsa pula menjadi milik atlet tuan rumah, Filipina, Daniel Parantac, dengan catatan 9.56 mata. 

"Dalam edisi kali ini, saya berasa dapat menebus diri sendiri ," katanya. 

Sementara itu, Chef-de-Mission (CDM) negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, meluahkan kegembiraannya apabila menyatakan bahawa skuad wusyu tidak pernah mengecewakan dalam setiap temasya dwitahunan berkenaan. 

Walaupun sukan itu tidak disenaraikan dalam sasaran 70 pingat emas buat Malaysia, keyakinan Megat Zulkarnain terhadap skuad negara untuk menghadiahkan emas tidak pernah pudar.

"Walaupun tidak diletakkan sebarang emas dalam edisi kali ini, namun saya mempunyai firasat yang kuat (mengenai kejayaan ini)," kata Megat Zulkarnain.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen