Skuad wushu negara sudah 100 peratus bersedia untuk menggegarkan saingan Sukan SEA bermula minggu depan walaupun tiada sasaran pingat diletakkan bagi skuad negara.

Tiada sasaran diletakkan ekoran pengurangan acara oleh tuan rumah yang menyaksikan empat juara dunia negara tidak dapat beraksi susulan acara masing-masing tidak dipertandingkan.

Bagaimanapun, ketua jurulatih skuad wushu negara, Lim Yew Fai, menyatakan atlet negara sudah bersedia 100 peratus untuk melakar kejutan dalam Sukan SEA edisi ke-30.

"Segala rutin telah dilengkapkan, tiada kesilapan yang boleh menyebabkan mata dipotong dan prestasi sangat baik, kini prestasi mereka sangat baik dan saya gembira. Saya selalu ingatkan kepada mereka supaya mengekalkan prestasi semasa sehingga ke Sukan SEA," katanya.

Tambahnya lagi, latihan kini lebih terarah kepada persediaan mental atlet negara selepas semua teknik dan rutin sudah berada di tahap terbaik.

"Perkara yang paling penting adalah mental kerana jika anda fikir anda tidak bersedia, ia akan mempengaruhi aksi anda di hari pertandingan. Begitu juga sebaliknya."

Dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, skuad negara meraih enam daripada 17 pingat emas yang ditawarkan dalam acara wushu.