Atlet wushu negara, Wong Weng Son, mahu melunaskan dendam terhadap wakil Indonesia dalam acara changquan Sukan SEA Filipina bermula esok selepas ditundukkan oleh Edgar Marvelo dalam Kejohanan Dunia di Beijing bulan lalu.

Weng Son terpaksa akur sekadar meraih perak dalam Kejohanan Dunia, namun tidak mahu tunduk sekali lagi dalam Sukan SEA bagi merealisasikan sasaran pingat emas.

"Saya memang sudah biasa kerana dalam Kejohanan Dunia lalu, saya meraih pingat perak dalam acara changquan.

"Saya agak yakin untuk memenangi pingat tetapi untuk mendapatkan pingat emas, masih terdapat atlet dari Indonesia yang akan bertanding dalam Sukan SEA," katanya.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu sekadar meraih dua pingat perak dalam edisi di laman sendiri dua tahun lalu.

Bagaimanapun, keputusan penganjur menggugurkan beberapa acara menyaksikan dia terpaksa bergantung kepada acara changquan dan duilian untuk menyumbangkan pingat.

"Kali ini, saya akan mencuba sedaya-upaya untuk mencipta satu lagi kejayaan kerana dua tahun lalu, saya tidak mengambil bahagian dalam acara changquan," tambahnya.