Skuad wushu negara muncul penerima tertinggi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), sekali gus menjadi suntikan semangat menjelang Sukan SEA hujung bulan ini.

Sukan wushu merupakan penerima tertinggi dengan jumlah wang tunai sebanyak RM444,000 hasil kejayaan meraih dua pingat emas, lima perak dan satu gangsa dalam Kejohanan Dunia Ke-15 di Shanghai, China, bulan lalu.

Bagi ketua jurulatih skuad negara, Lim Yew Fai, penghargaan itu tiba tepat pada waktunya kerana ia menyuntik semangat atlet untuk terus melakar kejutan dalam temasya itu nanti.

"Ya, saya fikir begitu. Bagus untuk menerima sesuatu di atas pencapaian dalam Kejohanan Dunia. Ia juga bagus untuk keseluruhan skuad, bukan hanya sesetengah pemain.

"Kejayaan ini bukan hanya terarah kepada seorang atlet tetapi ia melibatkan seluruh pasukan, malah Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Kami perlukan sokongan mereka," katanya.

Namun, tiada sasaran diletakkan buat skuad negara dalam saingan di Filipina nanti biarpun dua tahun lalu, barisan atlet kebangsaan cemerlang merangkul enam emas di Kuala Lumpur.

Ia ekoran pengurangan acara oleh tuan rumah yang menyaksikan empat juara dunia negara tidak akan dapat beraksi kerana acara masing-masing tidak dipertandingkan.