Memenangi emas pertama Sukan SEA Filipina bagi kontinjen negara menjadi penyuntik kepada semangat atlet wushu negara, Loh Choon How, apabila merangkul pingat emas kedua dalam acara taijijian.

Choon How merakamkan kemenangan berganda apabila mengungguli acara taijijian dengan 9.68 mata, sekali gus mengetepikan saingan pencabar terdekat daripada wakil tuan rumah, Jones Llabres, yang mengutip 9.65 mata di Pusat Dagangan Dunia, Manila hari ini.

Walaupun mengalami kecederaan pada hari pertama, dia mendapat suntikan semangat daripada emas pertamanya untuk mengerah kudrat dalam acara keduanya itu.

"Pingat emas yang dimenangi semalam mencetuskan semangat saya untuk terus memperbaiki persembahan dan tidak mahu keterlaluan untuk meraikannya.

"Sebelum ini, saya mengalami masalah otot terkoyak tetapi ia sudah sembuh, namun ia kembali sakit sejak semalam," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad wushu negara, Lim Yew Fai, kagum dengan prestasi anak buahnya itu yang merangkul dua emas dan berharap prestasi atlet wushu terus konsisten sehingga hari terakhir saingan.

"Apa yang penting adalah persembahan atlet.

"Kalau tidak peragakan aksi yang baik, mereka tidak akan memenangi pingat.

"Atlet negara, Yeap Wai Kin, misalnya beraksi baik dalam kedua-dua acara.

"Choon How pula setelah menyertai tiga edisi dan buat pertama kalinya dia memenangi emas, malah dua.

"Saya sangat gembira dengan pencapaiannya, apatah lagi dia menanggung kecederaan," katanya.

Sementara itu,pemenang pingat emas Kejohanan Dunia di Shanghai, China, Oktober lalu, Chuah Shangyang, gagal mengulangi prestasi yang sama ketika penampilan sulungnya dalam Sukan SEA.

Shangyang hanya mampu meraih tempat ketujuh dalam acara gabungan nandao dan nangun dengan mengumpul 18.870 mata manakala tempat pertama diraih atlet Brunei, Roslan Mohammad Adi Salihin, dengan 19.280 mata.

Di samping itu, nasib serupa menimpa Wai Kin apabila hanya mampu mendapat tempat keenam dalam acara gabungan taoli daoshu dan gunshu dengan 9.62 mata.

Hari ketiga saingan temasya dwitahunan itu bakal menyaksikan atlet Malaysia bersaing dalam empat acara, iaitu gunshu lelaki, nanquan lelaki, taijijian wanita dan duilian lelaki.