Atlet wushu negara, Loh Choon How, sekali lagi mempamerkan kemampuannya dalam Sukan SEA 2019 selepas meraih pingat emas kedua menerusi acara taijijian hari ini.

Atlet berusia 26 tahun itu, yang memenangi pingat emas pertama kontinjen negara dalam acara taijiquan semalam, mengutip 9.68 mata untuk mengatasi Jones Llabres Inso (9.65) dari Filipina dan wakil Brunei, Hosea Wong Zheng Yu (9.60) di Pusat Dagangan Dunia, Manila.Ia merupakan pingat emas yang kelima buat Malaysia dalam temasya dwitahunan itu kali ini, sekali gus mempertahankan emas yang diraih Loh Jack Chang di Kuala Lumpur dua tahun lalu.