Vietnam 2021: Gabungan atlet senior, muda barisi kontinjen negara

Oleh Ammar Hakim 18 Februari 2021 42
Vietnam 2021: Gabungan atlet senior, muda barisi kontinjen negara
Jawatankuasa pemilihan atlet Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menetapkan gabungan atlet muda dan senior akan mewakili negara ke Sukan SEA Vietnam, November ini ekoran masalah dihadapi persatuan sukan kebangsaan.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, mengakui penangguhan Sukan Malaysia (Sukma) Johor yang sepatutnya dianjurkan tahun lalu menjejaskan perancangan menghantar kontinjen muda ke Vietnam.

Jawatankuasa pemilihan atlEt MOM akan mengadakan pertemuan dengan semua 40 persatuan sukan kebangsaan, bulan depan untuk menentukan barisan atlet yang akan mengibar cabaran negara.

Proses itu akan tamat 15 Mac ini di mana Malaysia perlu menghantar senarai awal, seminggu kemudian.

Langkah itu akan menentukan peratusan atlet muda dan senior ke Vietnam.

"Komposisi antara atlet senior dan muda adalah sedia ada. Kami akan mengambil masa untuk bertemu dengan pihak persatuan sukan bagi membincangkannya dengan lebih lanjut," katanya.

Keputusan menghantar gabungan atlet muda dan senior ke Vietnam dilihat bakal meletakkan Malaysia antara negara pilihan memburu pingat.

Malah berdasarkan pendekatan temasya lalu, tidak mustahil atlet negara akan turut diiringi sasaran pingat.

"Bagi atlet senior, tetap ada kriteria buat mereka untuk mengejar pingat. Imbangan antara mengetengahkan atlet muda bergantung kepada persatuan sukan kebangsaan," kata Norza lagi.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen