Skuad menembak dan boling padang negara perlu bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan apabila Pengurus Sukan Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC), Karen Caballero, mengesahkan kedua-dua venue itu menghadapi masalah teknikal.

Venue menembak di Pusat Latihan Asas Marin Filipina di Manila masih belum dapat dimuktamadkan kerana venue itu tidak boleh diakses.

Acara rifle dan pistol akan diadakan di pusat berkenaan manakala acara trap di venue lain.

PHISGOC bersiap-sedia dengan pelan B, iaitu mencari venue lain jika keadaan mendesak.

"Terdapat lapangan menembak lain yang boleh digunakan tetapi kami amat yakin pihak kontraktor dapat menyiapkannya dalam masa yang ditetapkan.

"Ia akan ditentukan dalam beberapa hari akan datang.

"Saya yakin ia dapat disiapkan sebelum Sukan SEA," katanya.

Masalah turut melanda venue boling padang apabila pihak penganjur masih menunggu keputusan Jawatankuasa Teknikal sama ada perlu menggunakan permukaan padang rumput atau tiruan.

Acara itu akan diadakan di Malabon Properties Land Holding Limited, Clark.

"Kami amat bergantung kepada saranan delegasi teknikal.

"Asalkan delegasi teknikal bersetuju untuk menggunakan sama ada padang tiruan atau rumput, kami akan menurutinya dan mencari jalan penyelesaian.

"Kami mungkin perlu menanam rumput semalaman," tambahnya.

PHISGOC turut memberi jaminan bahawa kesemua venue temasya itu akan beroperasi sepenuhnya 15 November ini -- 15 hari sebelum upacara pembukaan.