Atlet duatlon negara, Jason Loh, membuat keputusan drastik demi meraih podium dalam Sukan SEA Filipina apabila mengambil cuti empat bulan tanpa gaji untuk menjalani latihan.

Bagi memastikan dapat mencapai sasaran pingat dalam temasya dwitahunan itu, kebanyakan atlet bertungkus-lumus berlatih setiap hari dengan elaun yang dibekalkan.

Bagaimanapun, atlet duatlon berusia 27 tahun itu tidak berada dalam program sukan negara dan terpaksa mengambil cuti selama empat bulan tanpa gaji supaya persiapannya berada di tahap terbaik.

"Saya terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama empat bulan bagi membuat persiapan menghadapi Sukan SEA. Saya berharap usaha yang dilakukan mampu berhasil," kata Jason.

Sementara itu, atlet triatlon negara, Aldrian Yeo, yang turut bertindak selaku kapten negara, menarik nafas lega apabila melihat setiap atlet triatlon dan duatlon berada di tahap terbaik.

"Persiapan kami sangat baik dan kami menjangkakan saingan yang sengit dari Indonesia, Singapura dan Filipina," katanya.

Sukan triatlon bakal berlangsung dari 1 hingga 3 Disember ini manakala duatlon akan berlangsung pada 4 dan 5 Disember.