Selepas gagal beraksi dalam edisi 2017, atlet triatlon wanita negara, Aimi Iwasaki Muhammad Moritoshi, enggan mensia-siakan peluang kedua yang diperolehnya dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

Atlet berusia 24 tahun itu terpaksa melupakan hasrat mewakili negara dalam temasya Kuala Lumpur kerana kecederaan di paha kiri selepas mengesahkan slot ke Sukan SEA dua tahun lalu.

Disebabkan kecederaan itu juga, atlet kelahiran Pulau Pinang berdarah kacukan Jepun itu terpaksa melupakan pentas pertandingan selama dua tahun, yang digunakannya untuk menamatkan pengajian dalam bidang ‘Fine Dining Arts’ di Akademi Kulinari Malaysia.

“Disebabkan kecederaan kaki di bahagian paha kiri selepas saya terpilih Sukan SEA 2017, saya terpaksa berhenti dua tahun. Untuk saya bangkit semula, ia sangat mencabar daripada segi mental dan fizikal kerana sukan triatlon membabitkan tiga bahagian.

“Tahun ini saya akan buat yang terbaik supaya saya tidak menyesal dan buktikan kepada Malaysia. Dengan kerjasama yang baik daripada pasukan, saya yakin kami akan mencapai sasaran,” katanya kepada pemberita dalam sidang media Team Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Aimi mencipta sejarah tersendiri apabila layak mewakili negara ke Sukan SEA Filipina, 30 November hingga 11 Disember ini dalam dua acara Super Sprint Mixed Relay dan Individual Olympic Distance Triathlon.

Kejayaan itu dicapai selepas meraih tempat kedua dalam The Everly Putrajaya TriFactor International Triathlon 2019 yang menjadi medan pemilihan atlet pada Julai lalu serta tempat kedua dalam kategori wanita elit dalam Kejohanan Triatlon Antarabangsa Singapura 2019, September lalu.

Aimi pernah mewakili Melaka untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2012 dan 2014 sebelum memutuskan untuk menyertai Terengganu dalam acara berbasikal lebuh raya pada 2016.

Untuk rekod, acara triatlon wanita telah menyumbang pingat gangsa dengan mencatat masa 2j25:44 saat manakala seorang lagi pelumba negara, Ryan Tan Qai Shen, di kedudukan ketujuh daripada 16 pelumba dalam temasya Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

-- BERNAMA