Tinju: Fuad sukar cabar jaguh tuan rumah 

Oleh Staff Writer 6 Disember 2019 515
Tinju: Fuad sukar cabar jaguh tuan rumah 
Kekurangan aksi dalam persiapan menghadapi Sukan SEA Filipina menghantui peninju light flyweight negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan, apabila tidak dapat menyempurnakan misi mempertahankan pingat emas sebentar tadi. 

Turun berbekalkan reputasi selaku pemenang emas di Kuala Lumpur pada 2017, Fuad berdepan peninju tuan rumah, Carlo Paalam, sebelum terpaksa akur terkandas dalam saingan separuh akhir itu. 

Atlet negara berusia 28 tersebut sering dibayangi lawannya itu yang menerima sokongan padu daripada penyokong sendiri sebelum tewas 0-5 dalam pertarungan tiga pusingan berkenaan. 

Dengan Paalam lebih agresif serta menguasai pusingan pertama, Fuad sukar melepaskan beberapa tumbukan selain tidak mengenai sasaran.

Peninju kelahiran Negeri Sembilan itu, yang mendapat laluan percuma dalam pusingan suku akhir, diasak hebat peninju Filipina tersebut yang menyaksikan beberapa tumbukan singgah tepat di mukanya. 

Dalam pusingan kedua pula, Fuad kembali dengan aksi lebih baik serta pertahanan yang lebih kemas tetapi tumbukan yang dilepaskannya belum cukup untuk menggugat pencabarnya itu. 

Dia cuba bertindak lebih agresif untuk memaksa lawannya lebih bertahan dan sesekali melepaskan tumbukan dalam pusingan terakhir tetapi ia sudah pun terlewat apabila kemenangan berpihak kepada Paalam manakala Fuad terpaksa berpuas hati dengan gangsa.


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen