Timbalan CDM mahu atlet kekal fokus

Oleh Penulis Jemputan 27 November 2019 37
Timbalan CDM mahu atlet kekal fokus
Timbalan chef-de-mission (CDM) Sukan SEA Filipina, Ahmad Faedzal Md Ramli, tidak mahu atlet negara leka dengan masalah kemudahan tuan rumah yang gagal siap sepenuhnya hingga mengganggu tumpuan sebenar mereka dalam temasya edisi ke-30 itu.

Segala isu yang ditimbulkan sudah diberi perhatian oleh pihak penganjur dan kontinjen Malaysia menerima setiap perkembangan dari semasa ke semasa.

Namun, ada pesanan yang ditinggalkan Ahmad Faedzal agar isu itu tidak menjdi tumpuan utama atlet kebangsaan memandangkan tugasan lebih besar menanti mereka.

"Biar penganjur uruskan kerana mereka tahu tugas yang diberikan. Mungkin pihak Filipina berasa malu tetapi Malaysia perlu kekal fokus serta menumpukan objektif dalam saingan kali ini demi nama negara," katanya.

Nada sama turut dilontarkan seorang lagi timbalan CDM, Nurul Huda Abdullah, yang tidak mahu isu keselamatan membelenggu atlet negara.

Pihak sekretariat sendiri akan bertindak sekiranya situasi di Filipina berpotensi mengancam keselamatan atlet sepanjang temasya itu berlangsung.

"Apa yang atlet perlu fokus adalah teruskan latihan, kekal sihat dan bebas daripada kecederaan. Itu yang patut mereka risaukan," katanya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen