Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, menyokong pendirian Persekutuan Sukan SEA (SGF) untuk tidak mengugurkan pingat gangsa dalam acara yang hanya disertai tiga peserta dalam Sukan SEA Filipina bermula esok.

Atlet dalam 17 acara, yang sebelum ini dikatakan tiada kalungan pingat gangsa kerana hanya disertai tiga peserta, boleh menarik nafas lega apabila SGF menetapkan pendirian itu.

Berdasarkan syarat penyertaan Sukan SEA sebelum ini, sesuatu acara itu hanya boleh dipertandingkan jika disertai sekurang-kurangnya empat peserta.

"Dengan adanya penarikan diri pada saat-saat akhir berasaskan kepada kecederaan atau perkara-perkara lain, adalah tidak adil untuk menidakkan peluang mereka (atlet lain) meraih pingat, terutama gangsa," katanya selepas Mesyuarat Majlis SGF di Clark hari ini.

Ia bermakna atlet heptatlon negara, Nor Liyana Kamaruddin, dan atlet taekwondo, Joshua Amirul, sah akan memenangi sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam acara masing-masing.

SGF turut meluluskan penubuhan panel timbang tara untuk temasya kali ini.

"Majlis bersetuju dan membenarkannya selepas perbincangan yang agak panjang," kata Presiden SGF, Abraham Tolentino.

"Kami akan meminda perlembagaan (SGF) untuk edisi yang akan datang."