Tiada masa ratapi kehilangan Safawi, Wan Kuzain

Oleh Staff Writer 23 November 2019 1874
Tiada masa ratapi kehilangan Safawi, Wan Kuzain
Jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, bertekad untuk memastikan sasaran pingat emas bola sepak dalam Sukan SEA Filipina bermula Isnin ini tanpa meratapi kehilangan dua sandaran utama, Safawi Rasid dan Wan Kuzain Wan Kamal.

Pengumuman ketiadaan kedua-dua pemain itu semalam mengundang kekecewaan sesetengah pihak.

Tetapi bagi Kim Swee, dia sudah tiada masa untuk meratapi kehilangan dua bintang itu dan yakin dengan kemampuan 20 pemain lain yang terpilih.

Ketiadaan kedua-duanya tidak menjejaskan sasarannya untuk meraih pingat emas selepas tewas di tangan Thailand dalam final di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Selepas beberapa hari Wan Kuzain bersama kami, dia sudah mula menunjukkan keserasian (dengan pemain lain) bukan sahaja di dalam padang tetapi juga di luar padang.

"Tetapi malangnya, disebabkan masalah dokumentasi yang tidak sempat kami lengkapkan, kami terpaksa melupakan khidmatnya.

"Tetapi dengan pemain-pemain sedia ada, saya percaya mereka mampu menggalas tugas itu dengan baik.

"Setiap pemain yang terpilih mempunyai kekuatan masing-masing," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, mahu tiga pemainnya, Luqman Hakim Shamsudin, Umar Hakeem Suhar Redzuan dan Harith Haikal Adam Afkar, menggunakan kesempatan dalam temasya itu untuk meningkat ke tahap lebih tinggi.

Ia sejajar dengan usahanya untuk menjadikan mereka sebagai taruhan baru bola sepak negara.

"Ia amat baik apabila mereka dapat meningkat ke satu tahap yang lebih tinggi.

"Selepas Kejohanan AFC B-19, saya amat yakin dan positif mereka dapat meningkat ke tahap itu.

"Ia merupakan ganjaran di atas usaha keras mereka," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen