Terjun: Rangkul emas, Wendy tebus duka KL2017

Oleh Bernama 6 Disember 2019 464
Terjun: Rangkul emas, Wendy tebus duka KL2017
Penerjun wanita negara, Wendy Ng, berjaya menebus episod duka acara 3 meter papan anjal dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila merangkul emas dalam acara itu hari ini.

Penerjun negara itu membuktikan mereka berada di kelas tersendiri apabila Jasmine Lai Pui Yee turut menyumbang pingat perak kepada kontinjen negara.

Wendy mengumpul 298.90 mata manakala Jasmine 241.95 dan pingat gangsa menjadi milik penerjun Vietnam, Ngo Phuong Mai, dengan catatan 241.25 mata,

Atlet berusia 26 tahun itu sebelum ini menempuh episod hitam apabila dua pingat emas dalam acara 3m papan anjal individu dan seirama yang dimenangi dalam edisi lalu di Kuala Lumpur, ditarik balik selepas didapati positif sibutramine serta dikenakan penggantungan lapan bulan.

"Walaupun gagal melakukan catatan terbaik tetapi saya tetap gembira apabila meraih pingat emas kali ini," kata Wendy.

Untuk rekod, Wendy antara empat penerjun wanita negara yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri.

Sementara itu, satu lagi pingat emas berjaya diraih menerusi acara 3m papan anjal seirama lelaki menerusi Ooi Tze Liang dan Chiew Yiwei yang melakukan catatan 398.16 mata. 

"Saya bersyukur di atas kemenangan ini selepas apa yang ditempuhi menjelang saingan Sukan SEA, bermula dengan kelewatan di lapangan terbang sehinggalah hanya dapat berlatih selama sehari sebelum pertandingan bermula," kata Tze Liang.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen