Jurulatih skuad terjun negara, Christian Brooker, berpuas hati anak buahnya berjaya menutup tirai Sukan SEA Ke-30 dengan penuh kebanggaan apabila menepati sasaran empat pingat emas seperti yang disandarkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Brooker meluahkan rasa bangga dengan pencapaian skuad negara, terutama terhadap Jasmine Lai Pui Yi dan Muhammad Syafiq Puteh yang meraih pingat perak di Filipina.

Skuad terjun negara menyapu bersih pingat emas dalam kesemua empat acara yang dipertandingkan, iaitu 3 meter papan anjal individu dan seirama lelaki dan wanita, dengan masing-masing berjaya mempertahankan emas yang diraih dua tahun lalu.

"Saya sangat berbangga dengan beberapa penerjun negara yang masih kurang pengalaman beraksi di pentas antarabangsa mencipta kejayaan kali ini," kata Brooker.

Sementara itu, jurulatih kelahiran Australia itu menjelaskan sasaran berikutnya adalah untuk memberi tumpuan dalam memastikan lebih ramai wakil negara layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kejohanan Piala Dunia merupakan slot untuk penerjun negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik, beberapa sasaran yang harus dicapai bagi mendapatkan tempat ke Tokyo 2020."